Feb 23, 2025 - FASSkuad Selangor FC sah Juara MFL Challenge Cup 2024/24 selepas berjaya menjaringkan 4-0 menentang PDRM FC dalam perlawanan Akhir 2 dengan agregat 7-0 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya semalam.
Separuh masa pertama dalam perlawanan Akhir 2 semalam bermula dengan jaringan pembukaan Ali Olwan, menyudahkan hantaran Ronnie Fernandez seawal minit ke-4. Tidak lama selepas itu, Ronnie Fernandez sekali lagi membuat hantaran yang cukup memberangsangkan jatuh tepat ke kaki Yohandry Orozco pada minit ke-10. Ronnie Fernandez terus beraksi dengan cemerlang, selepas beliau ‘assist’ dua gol, minit ke-30 menjadi giliran beliau pula menjaringkan gol setelah Quentin Cheng membuat hantaran bola di udara, Ronnie terus membuat larian dan menanduk masuk bola tersebut, meletakkan Selangor FC tiga gol di hadapan. PDRM FC tidak kurang hebatnya, mereka tetap berikan perlawanan yang sukar, banyak percubaan mereka mampu meletakkan skuad Merah Kuning dalam keadaan merbahaya. Banyak pertukaran dilakukan di separuh masa kedua, kemasukan Khuzaimi Piee, Mukhairi Ajmal, Zikri Khalili, Faisal Halim dan Izwan Yuslan menambah tenaga kepada pasukan. Pada minit ke-80 perlawanan, Faisal Halim menghantar bola ke sebelah kanan padang menemui Mukhairi Ajmal, kemudian Mukhairi terus hantar bola di tengah kotak dan Yohandry Orozco dengan kemahiran yang beliau miliki, meletakkan bola tersebut ke dalam gol pihak lawan. Perlawanan berakhir dengan keputusan 4-0 (7-0 secara agregat).
Katshuhito Kinoshi, Ketua Jurulatih Selangor FC, gembira dengan kemenangan ini, serta mengucapkan tahniah serta terima kasih kepada semua.
“Sudah semestinya saya gembira dengan kemenangan ini dan kami juga menganggap ia sebagai satu peristiwa penting untuk masa hadapan. Kemenangan ini akan membantu kita untuk terus langkah kehadapan. Saya sangat berpuas hati dengan persembahan yang para pemain tunjukkan, begitu juga dengan jurulatih dan pegawai pasukan yang membantu pemain untuk berada dalam kondisi yang terbaik untuk beraksi. Tahniah kepada semua termasuklah penyokong Gergasi Merah. Terima kasih atas sokongan yang diberikan. Walau bagaimanapun, perjalanan harus diteruskan, kita perlu fokus untuk perlawanan seterusnya untuk memastikan pasukan mendapat lebih banyak kejayaan,” jelas Kinoshi.
Pihak pengurusan Selangor FC ingin mengucapkan sekalung tahniah kepada barisan jurulatih, pegawai dan para pemain atas kejayaan ini. Terus kan perjuangan dengan baki perlawanan sebelum Liga Malaysia tamat bagi musim 2024/25.
Seterusnya, Selangor FC akan bertemu Sabah FC bagi saingan Liga Super pada 27 Februari ini jam 9 malam di Stadium MBPJ, Kelana Jaya. Dapatkan tiket anda sekarang di sini.
Demi Kebanggaan!